Thursday, April 8, 2010

Cabaran dan Ketelusan Media Massa Malaysia

Oleh Claire Marie Puyang

Umum mengetahui media memikul tanggungjawab besar dalam pembentukan, pembangunan dan keharmonian sesebuah negara. Masyarakat bergantung sepenuhnya kepada media untuk mendapatkan maklumat. Akhbar, televisyen, radio, internet dan telefon adalah antara media yang sering didampingi masyarakat. Atas kebergantungan ini, media seharusnya menjalankan tanggungjawab sebagai penyalur maklumat, bukan sahaja dengan segera tetapi telus.

Namun begitu, pertanyaan yang sering berlegar di minda pengguna media, terutama pada hari ini ialah sejauh mana ketelusan media dalam memaparkan sesuatu isu? Adakah media menjalankan tanggungjawabnya kepada pembaca dengan menyampaikan maklumat yang benar atau adakah media menyembunyikan sesuatu untuk menjaga kepentingan sesetengah pihak? Jarang sekali media akan memaparkan berita tentang perkara yang menyentuh tentang golongan atau ras tertentu dalam sesebuah masyarakat (M. Noor Azam, 1982).

Apabila memperkatakan tentang media, secara tidak langsung kita akan mengaitkannya dengan Perkara 10 Perlembagaan Malaysia yang menggariskan secara kasar tentang kebebasan bersuara (Perlembagaan Persekutuan, 2006). Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang melaungkan konsep kebebasan dalam setiap tindakan masyarakatnya. Namun demikian, sejauh manakah kebebasan ini boleh dipraktikkan? Pertama sekali, apabila mengatakan masyarakat Malaysia mempunyai kebebasan bersuara, perkara ini adalah tidak benar sepenuhnya. Jika diteliti sedalam-dalamnya, setiap apa yang kita lakukan adalah dikawal. Ruang awam dikawal, penggunaan ruang udara dikawal dan ini menyebabkan media lebih berhati-hati dalam menyampaikan sesuatu isu.

Pengedaran bahan cetak juga turut dikawal. Banyak bahan penerbitan tidak berada dalam pasaran kerana tidak diluluskan oleh kerajaan. Malah, pelbagai akta dibuat untuk memastikan pengawalan ini tidak dipersoalkan. Contohnya Akta Mesin Cetak Dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Peraturan-peraturan, Kaedah-kaedah dan Perintah dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 589) (Huat, 1985).

Wheeler (1997) menyatakan, dalam kerajaan demokrasi, media diumpamakan seperti ‘public watchdog’ atau pemerhati untuk orang awam. Beliau turut menyatakan, terdapat empat estet dalam kerajaan demokrasi. Estet pertama ialah Badan Perundangan, estet kedua; Badan Kehakiman, estet ketiga; Badan Eksekutif (Kerajaan) dan estet keempat ialah media massa. Keempat-empat estet ini sepatutnya tidak berkait antara satu sama lain. Ini kerana setiap estet mempunyai peranan serta tanggungjawab masing-masing dan tidak harus dipengaruhi estet-estet yang lain. Namun demikian, di Malaysia estet ketiga mempunyai kuasa untuk campur tangan dalam estet-estet lain termasuk estet keempat, media massa. Kerajaan mempunyai kuasa untuk memberi lesen serta menetapkan kuasa dan undang-undang.

Sebagai estet keempat yang berperanan sebagai ‘public watchdog’, media sepatutnya berupaya melaporkan apa sahaja isu yang berkaitan dengan estet pertama, kedua dan ketiga. Namun demikian, dengan adanya campur tangan dari estet ketiga, bagaimana dan sejauh mana media bebas untuk melaporkan sesuatu isu?

Contohnya seperti kes pembinaan empangan Bakun di Sarawak. Pada awalnya, kerajaan berjanji membayar sejumlah pampasan kepada masyarakat yang menduduki kawasan tersebut kerana mereka diarah untuk berpindah ke penempatan baru dan tanah asal mereka (warisan nenek moyang) diambil untuk tujuan pembinaan empangan Bakun. Namun demikian, selepas berpindah, masih terdengar keluhan dan rungutan dari masyarakat kawasan tersebut. Wang pampasan yang dijanjikan tidak dibayar sepenuhnya (Ritchie, 2005). Dan yang paling mendukacitakan, selepas mengorbankan tanah asal mereka untuk tujuan pembangunan, mereka sendiri tidak diberi peluang untuk merasai pembangunan yang dijanjikan.

Masyarakat yang tidak mengenali kelompok kecil ini, yang tidak berada dalam situasi mereka, melemparkan tuduhan dengan mengatakan bahawa mereka menolak pembangunan. Namun, seperti yang dikatakan oleh Bawe Along, seorang penduduk kaum Kenyah dari Long Geng, mereka tidak menolak pembangunan. Buktinya, mereka telah meminta untuk diberikan bekalan elektrik sejak tahun 1957 (Insan, 1996). Mereka juga telah memberi kerjasama kepada kerajaan dengan mengorbankan tanah asal mereka. Apa yang mereka mahukan ialah keadilan bagi masyarakat mereka, dari segi pembayaran pampasan serta kemudahan bekalan elektrik (Ritchie, 2005).

Media jarang sekali memaparkan rungutan para penduduk di kawasan tersebut. Sebaliknya, berita tentang bantuan dan kemodenan yang dijanjikan oleh kerajaan kepada penduduk di kawasan itu sering menghiasi dada akhbar dan televisyen. Mengapa? Adakah media takut untuk menjadi saluran kepada masyarakat Balui menyuarakan keluhan serta ketidakpuasan hati mereka terhadap pemerintah? Dalam penulisannya, Wheeler (1997) mengatakan “freedom of speech is the citizen’s fundamental rights in a modern democratic society” atau kebebasan berucap adalah hak asas setiap individu dalam masyarakat demokrasi moden. Di sini, jelas menyatakan demokrasi itu sendiri adalah satu situasi di mana seseorang individu seharusnya dibenarkan untuk menjadi ahli penuh dalam masyarakat.

Terdapat kritikan yang mengatakan bahawa media merupakan alat penyalur ideologi kerajaan yang digunakan untuk mengawal masyarakat. Merujuk kepada konsep Hegemony oleh Antonio Gramsci (1971), media digunakan oleh kuasa dominan untuk memperlihatkan sesuatu polisi atau konsep sebagai satu kebiasaan dan sesuatu yang normal. Perkara ini terjadi apabila sesuatu polisi atau konsep itu disampaikan secara berulang-ulang sehingga masyarakat menjadi biasa dengannya tidak akan mempersoalkan sama ada ia salah atau tidak. Apabila ini terjadi, kuasa dominan sebenarnya telah mewujudkan satu kawalan sosial di mana mereka sebenarnya telah mengawal cara masyarakat berfikir mengikut peraturan dan kehendak mereka (Dahlgren, 1991).

Contohnya, seperti Perlembagaan Malaysia. Rakyat Malaysia dari kecil telah didedahkan kepada Perlembagaan Malaysia yang menyeru agar kita patuh kepada undang-undang, setia pada raja dan negara dan sebagainya. Radio, televisyen dan radio digunakan sebagai ejen pengukuhan Perlembagaan dalam diri setiap rakyat. Oleh kerana itu, apabila buku “Malaysia Maverick : Mahathir Mohamad in Turbulent Times” yang ditulis oleh bekas wartawan Asian Wall Street Journal dan Asia Week, Barry Wain, ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan alasan ia mengkritik mantan Perdana Menteri Malaysia, ramai mengiyakan segalanya dan bersetuju dengan tindakan KDN. Kita tidak mempersoalkan tindakan KDN kerana kita telah diberitahu, apa saja yang mengkritik atau menggugat kuasa dominan negara adalah sesuatu yang salah. Jadi di sini, melalui media, kerajaan telah mewujudkan satu kawalan sosial terhadap rakyat menggunakan Perlembagaan. Apa saja yang kerajaan buat adalah satu kebaikan tanpa kita mempersoalkannya.

Media hari ini semakin jelas menampakkan mereka lebih cenderung untuk menjadi jentera kerajaan dan melaporkan berita secara berat sebelah daripada melihat sesuatu peristiwa itu dari perspektif yang lain. Jarang sekali penyelewengan dalam jentera kerajaan dilaporkan dalam media. Jika ada, berita tersebut dianggap fitnah dan pelapornya akan dikenakan tindakan undang-undang. Jika ketelusan media diragui, jika media tidak memainkan peranannya sebagai medan suara rakyat dan hanya menunggu disogok oleh pihak tertentu, bagaimana media dapat memainkan peranan sebagai ejen pembangunan negara?

Dalam penulisannya bertajuk “Kebebasan Akhbar Di Malaysia : Satu Tinjauan Undang-undang”, Nik Abdul Rashid b. Nik Abdul Majid menyatakan “tidak dinafikan bahawa media massa berperanan dalam pembangunan sesebuah negara”. Wartawan Sharani Ismail bersetuju dengan kenyataan ini apabila menulis “media bukan saja berperanan menyampaikan maklumat dalam ruang lingkup semasa tetapi memainkan peranan penting dalam memberitahu, mendidik dan memotivasikan masyarakat terhadap pembangunan yang direncanakan oleh kerajaan” (Berita Harian, 5 Februari 2010).

Kerajaan, estet ketiga dalam sistem demokrasi campur tangan dalam pelaporan media massa dengan menetapkan undang – undang media atas beberapa sebab tertentu. Dalam konteks media di Malaysia, kebebasan untuk menulis, mengeluarkan pendapat, bersuara serta mengkritik adalah terbatas kepada Perkara 10 (2) di mana, parlimen telah diberi kuasa untuk membuat sekatan tertentu kepada Perkara 10 bagi tujuan menjaga keamanan negara, menjaga kepentingan keselamatan negara, menjaga hubungan baik dengan negara-negara lain, menjaga kepentingan akhlak dan sekatan bagi melindungi keistimewaan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (Perlembagaan Persekutuan, 2006).

Kritikan yang mengatakan bahawa Malaysia bukanlah negara demokrasi sepenuhnya seharusnya dinilai semula. Setiap negara adalah berlainan walaupun menggunakan sistem pemerintahan yang sama. Menyamakan konsep demokrasi di Malaysia dengan konsep demokrasi di Amerika Syarikat adalah seolah-olah menyamakan budaya kedua negara ini yang umum mengetahui, sangat jauh berbeza. Jika media di Malaysia mengamalkan kebebasan bersuara seperti di Amerika Syarikat, kita tidak akan hidup dalam suasana maju dan aman damai seperti sekarang.

Menurut Nik Abdul Rashid dalam artikel Kebebasan Akhbar Di Malaysia : Suatu Tinjauan Undang-undang :

“Dalam negara membangun seperti Malaysia, yang penting kepada kita ialah kestabilan politik, sosial dan ekonomi... Selagi akhbar dan kerajaan tidak bekerjasama antara satu sama lain, maka selama itulah kestabilan politik, sosial dan ekonomi tidak akan tercapai. Ini bukanlah bermakna akhbar mestilah menjadi alat propaganda kerajaan. Akhbar hendaklah memainkan peranannya secara profesional”

Menurut petikan ini adalah tidak salah media menjadi jentera propaganda kerajaan kerana melalui media, jurang antara kerajaan dan masyarakat dirapatkan. Melalui media masyarakat mendapat maklumat tentang dasar-dasar kerajaan dan yang paling penting, masyarakat akan lebih memahami tindakan yang dilaksanakan kerajaan berkenaan sesuatu isu. Namun begitu, berkenaan tanggungjawab media melaksanakan tugasnya secara profesional, pihak kerajaan harus bersikap terbuka dalam menerima laporan atau kritikan media tentang kekurangan yang ada pada kerajaan.

Pihak kerajaan juga harus jujur dalam berkongsi maklumat yang harus diketahui oleh masyarakat. Perkara ini penting kerana rakyat mempunyai hak untuk mengetahui sesuatu dari punca yang boleh dipercayai. Kerjasama kerajaan amat penting dalam memastikan ketelusan media melaporkan sesuatu isu dan ini secara tidak langsung akan membuatkan rakyat lebih yakin dan percaya dengan kredibiliti sesebuah kerajaan itu (Nik Abdul Rashid).

Menurut Curran (1991), dalam sistem demokrasi, media membantu kerajaan dengan berkongsi maklumat untuk dinilai dan dibahaskan oleh rakyat. Ini bermaksud, media bertindak sebagai perunding yang tidak berat sebelah antara kerajaan dan rakyat. Di sini, jelas diperlihatkan cabaran yang perlu dihadapi oleh media di Malaysia : bagaimana hendak menjadi suara rakyat dan menjaga kepentingan mereka serta dalam masa yang sama menjaga hubungan dengan kerajaan.

Pengguna media sekarang lebih aktif dan tidak hanya menerima dan menyerap apa yang disampaikan oleh media. Masyarakat atau pengguna media sekarang lebih kritis dan sering mempersoalkan setiap isu yang diketengahkan oleh media. Oleh yang demikian, adalah penting untuk media bersikap jujur dan mengambil kira perasaan pembaca, terutama dalam satu kelompok kecil di mana media dianggap wakil suara rakyat (Rivers dan Mathews, 1994).

Isu ketelusan media berkait rapat dengan kerajaan. Jadi, kedua – dua estet ini harus bekerjasama dalam memastikan perbezaan konsep, pengertian dan cara memberikan perkhidmatan awam antara kerajaan dan media dapat diatasi. Dengan itu, barulah media dapat berfungsi dan dipercayai sepenuhnya dalam menjadi agen yang membantu pembangunan negara. Seperti kata-kata David Broder dalam buku Rivers dan Mathews (1994,19), “Sebagai seorang wartawan, tanggungjawab kita adalah kepada para pembaca kita. Segala yang kita ketahui, atau yang kita fikirkan, pertama-tama adalah milik para pembaca. Bukan milik seorang politikus yang kebetulan seorang teman.”

Bahan Rujukan

Curran, J. (1991). Rethinking the Media As A Public Sphere. In Dahlgren, P. and Sparks, C. (eds). Communication and Citizenship : Journalism and The Public Sphere. London : Routledge.

Dahlgren, P. (1991). Introduction. In Dahlgren, P. and Sparks, C. (eds). Communication and Citizenship : Journalism and The Public Sphere. London : Routledge.

Hamzah H. (1982). Media Massa dan Peranannya Di Malaysia. In M. Noor Azam. Media Cetak dan Cabaran Masa Kini (Hal. 41-49). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Huat, Yap Thiam (1985). Undang-undang dan Media di Malaysia. Kuala Lumpur: Malaysia Law Publishers Sdn Bhd.

Malaysia Kini Online.

Nik Abdul Rashid B. Nik Abdul Majid, Kebebasan Akhbar Di Malaysia : Suatu Tinjauan Undang-undang.

Perlembagaan Persekutuan (Hingga 10hb Februari 2006) (2006). International Law Book Services.

Power Play. Why The Bakun Hydroelectric Project is Damned (1996). Kuala Lumpur : Insan.

Ritchie, James (2005). Who Gives A Damn! The Bakun Odyssey. Kuching : Wisma Printing Sdn. Bhd.

Rivers, William L., and Mathews, Cleve (1994). Etika Media Massa dan Kecenderungan Untuk Melanggarnya. Jakarta : Penerbit PT Gramedia Pustaka Utama.

Shaarani Ismail, Wartawan Mesti Bijak Tangani Kebebasan Bersuara. Berita Harian, 5 Februari 2010.

Tun Mahathir M. (2009, December 24). Malaysian Maverick. Retrieved January 26, 2010, from http : //chedet.co.cc/chedetblog/2009/12/malaysian-maverick. Html

Wheeler, M. (1997). Politics and The Mass Media. Cambridge Massachusetts: Blackwell Publishers.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin