Thursday, April 8, 2010

Berita Sensasi atau Berita Penting = Trend Media Akhbar Masa Kini

Oleh Kuan Yun Thin

Pengenalan

Kebanyakan masyarakat Malaysia tidak sedar, corak pemilihan akhbar kegemaran mereka sebenarnya bergantung kepada bagaimana dan apakah isu yang diketengahkan oleh akhbar tersebut. Pernahkah anda terfikir mengapa anda memilih akhbar Kosmo! dan bukannya Berita Harian? Lebih gemar membaca akhbar Harian Metro berbanding Utusan Malaysia?

Pembicaraan tentang pemaparan berita penting atau berita sensasi ini ditumpukan pada akhbar kerana peratusan pembaca akhbar lebih luas berbanding media cetak yang lain. Menurut Nielsen Media Index (2005), pasaran media akhbar mendominasi 60.9 peratus daripada keseluruhan pasaran media yang meliputi media televisyen, majalah dan radio. Media akhbar yang kandungan beritanya diselidik ialah Harian Metro, Berita Harian, Utusan Malaysia, Kosmo! dan The Star. Kelima-lima media ini merupakan media arus perdana di Malaysia. Kertas ini membicarakan apa dan bagaimana cara liputan berita media akhbar Malaysia disampaikan kepada pembaca.

Berita dalam akhbar harian

Akhbar tempatan lebih cenderung memaparkan berita bercorak sensasi daripada memaparkan berita penting dalam bentuk formal di dalam akhbar harian. Berita sensasi boleh dijumpai pada halaman utama akhbar setiap hari dengan tajuk besar yang berkaitan dengan kemalangan jalan raya yang membawa maut, kes lari dari rumah atau bunuh diri dan gossip tentang penghibur terkenal. Berita sensasi merupakan berita yang ditulis untuk memberi kesan dramatik serta menarik perhatian pembaca, dan biasanya akan membuat masyarakat berasa bimbang dan takut daripada sekadar hanya memberi infomasi sahaja. Berita-berita sensasi sedemikian meningkatkan keghairahan dan semakin mendapat tempat dalam kalangan masyarakat. Menurut Nielsen Media Index, jumlah pembaca akhbar ‘tabloid’ Harian Metro meningkat daripada 18,5071 kepada 22,9829 dan merupakan akhbar melayu yang paling banyak sambutan berbanding dengan yang lain pada tahun 2005. Akhbar sedemikian menekankan topik-topik yang sensasi seperti kes jenayah, astrologi, ruangan gossip mengenai kehidupan peribadi seseorang artis dan bintang sukan. Kadang-kala, berita sensasi yang dipaparkan penuh skandal dan kata-kata yang memberangsangkan serta isu-isu yang diperbesarkan.

Agee, Ault dan Emergy (1997) mengritik peranan media dalam pemaparan isu-isu sosial yang terlalu menitikberatkan manifestasi, gagal untuk memberi perspektif, terlalu menekankan konflik dan gagal untuk memberi pimpinan moral. Untuk menjamin pasaran dan memenuhi keperluan pasaran, media akhbar cenderung untuk menekankan berita sensasi dengan tajuk utama akhbar dan gambar-gambar yang memberangsangkan. Berita sensasi yang berkaitan isu-isu sosial kerap menjadi tumpuan utama akhbar dalam tempoh masa sehari atau hari seterusnya, dan kemudian hilang dalam paparan akhbar tanpa penyelesaian atau liputan selanjutnya. Isu-isu sosial sedemikian yang sepatutnya diikuti dan dibicarakan dalam paparan akhbar sering diabaikan. Pandangan ini diasaskan kepada kenyataan Haynes Johnson, seorang penulis dan pengulas televisyen (di dalam Agee, Ault dan Emergy, 31), “ Menerusi fokus media yang berterusan pada hari ini, bukan semalam, bukan keesokan hari, setiap isu yang dipaparkan telah diperbesar dan diringkaskan.” Walter Lippman (di dalam William, 2004), pula mengatakan ramai wartawan yang memperolehi berita hanya berasaskan keterangan daripada pihak polis, bukannya mencari sendiri sumber utamanya. Hal sedemikian kerap mengubah makna berita sebenar, dan inilah yang seringkali dihidangkan oleh media kepada pembacanya.

Ruangan dalam akhbar yang diberikan kepada berita hiburan yang merangkumi filem, muzik, nyanyian, sukan dan komik juga lebih banyak berbanding dengan pelaporan berita setempat dan global. Biasanya sebuah akhbar yang mempunyai belasan halaman umpamanya, memberikan empat atau lima halaman untuk berita dan rencana hiburan. Percintaan, perkahwinan dan penceraian yang merupakan lumrah hidup dilaporkan secara besar-besaran pada halaman akhbar apabila hal ini berlaku pada golongan selebriti. Setiap hari pembaca akhbar disensasikan dengan kisah peribadi seseorang artis dan ini juga menjadi satu kemestian orang ramai untuk mengikuti perkembangan dunia hiburan. M. Noor Azam (di dalam Hamzah, 1982, 43) menyatakan bahawa berita atau rencana hiburan dan skandal seks mendapat ruangan yang luas berserta dengan tajuk-tajuk besar dan foto-foto kerana ini jenis yang “selamat”. Berita sedemikian tidak menyinggung perasaan pihak kerajaan dan mendapat sambutan pembaca yang ramai. Ini juga merupakan faktor yang membuat majalah hiburan bertambah agak pesat dengan warna-warni yang cantik.

Berita-berita penting yang membabitkan penyelewengan pihak atasan pula tidak mendapat liputan yang sepenuhnya dalam akhbar harian. Ini termasuk juga berita penting mengenai Laporan Tahunan Ketua Audit Negara dan projek-projek terbengkalai yang membabitkan kepentingan awam dijadikan tidak penting oleh akhbar-akhbar. Menurut M. Noor Azam, fenomena ini berlaku kerana media akhbar bimbangkan reaksi yang tidak menyenangkan atau yang membahayakan dari pihak kerajaan dan golongan tertentu. Proses penghasilan berita juga dipengaruhi oleh pengiklan yang inginkan ruangan tertentu diperuntukkan untuk berita dan rencana yang berkaitan dengan produk mereka. Pandangan ini diasaskan kepada kenyataan Suraini (dalam Naim dan Zaheril, 2006, 53) yang menyatakan “berita bukanlah hanya sekadar ‘melapor’ sesuatu kejadian, tetapi merupakan satu bentuk penulisan yang dipengaruhi banyak pihak yang sekaligus menunjukkan dominan kuasa akhbar dalam masyarakat”.

Berita sensasi

Menurut Kamus Dewan Edisi Baru, sensasi bermaksud sesuatu (kejadian, keadaan dan lain-lain) yang mengemparkan atau yang membangkitkan perasaan (menarik perhatian ramai, menimbul rasa ingin tahu yang kuat dan sebagainya). Sensasi juga bermaksud sesuatu yang menimbulkan kegemparan (menjolok atau membangkitkan perasaan dan lain-lain). Mengapa cara pemaparan berita secara sensasi mendapat tumpuan dalam media akhbar? Adakah ini disebabkan kejayaan akhbar ditentukan oleh pembelian masyarakat, jadi media akhbar bertanggungjawab terhadap keperluan pelanggan dengan menitikberatkan berita sensasi yang mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi?

Restoren Berahi--Pelayan separuh bogel--Hidangan juadah atas pusat merupakan contoh berita sensasi yang meningkatkan keghairahan khalayak masyarakat. Akhbar tersebut menyiarkan satu laporan muka surat hadapan yang menyebut wujudnya sebuah restoran bertemakan seks di Kuala Lumpur. Menurut berita tersebut, “Amri, 30-an menceritakan pengalamannya dilayani pelayan seksi yang memakai coli dan berseluar dalam di sebuah restoren makanan laut di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Paling istimewa apabila hidangan turut diletakkan di atas tubuh beberapa wanita yang baring beramai-ramai di atas meja” (Harian Metro, 18 Julai 2009). Berita sensasi tersebut dipaparkan bersama kepingan gambar wanita yang tidak mempunyai seurat benang di badannya. Penyiaran berita bercorak sensasi seperti gambar mangsa-mangsa pembunuhan yang menampakkan kekejaman dan laporan jenayah menjadi lumrah biasa dalam akhbar tempatan. Menurut Stephens (1988, 2) :

Sensationalism appears to be a technique or style that is rooted somehow in the nature of the news. News obviously can do much more than merely sensationalize, but most news is,in an important sense, sensational: it is intended, in part, to arouse, to excite, often-whether the subject is a political scandal or a double murder-to shock.

Masyarakat zaman sekarang lebih tertarik kepada tindakan pendedahan daripada kandungan rahsia yang didedahkan. Cara pendedahan sesuatu isu atau berita yang dilakukan sedikit demi sedikit dengan meninggalkan tanda tanya dan dihiasi pelbagai kenyataan sensasi tidak pernah gagal mengujakan pembaca. Yang ironiknya, rahsia yang didedahkan dan mendapat perhatian khalayak masyarakat pada asasnya hanya merupakan perkara biasa. Pandangan ini adalah berasaskan pada kenyataan Meyrowitz (di dalam Mackay dan Sullivan, 1999, 103). Penyiaran berita bercorak sensasi oleh pihak media akhbar meningkatkan keghairahan masyarakat.

Tambahan pula, ‘Bad news ia good news’, iaitu ‘good’ bagi pemberita. Apabila sesuatu yang buruk berlaku, maka berita mengenai kejadian berkenaannya amat menarik perhatian pengamal media dan juga pembaca. Stephens (1988) menyatakan bahawa, berkemungkinan berita tentang keganasan dan seks menarik perhatian pembaca kerana ia berkaitan dengan kematian dan kehidupan kita. Berita sedemikian membuka mata masyarakat terhadap ancaman di sekeliling dan kita juga susah untuk mengabaikan pembacaan berita sensasi sedemikian. Adakah wartawan juga menghadapi situasi yang sama, iaitu mengalami kesukaran untuk mengabaikan pelaporan berita sensasi dalam akhbar harian seperti yang dilakukan oleh New York Post di bawah milik Rupert Murdoch?

Berita penting atau berita sensasi

Adakah benar media akhbar masa kini lebih cenderung memaparkan berita yang bercorak sensasi dalam berita seharian? Menurut Zainuri Misfar,“Jelas sekali, masyarakat dan golongan artis secara umumnya lebih suka membuat persepsi kononnya wartawan suka mensensasikan sesuatu isu tanpa melihat keseluruhan berita yang dilaporkan oleh media. Isu sensasi itu sendiri agak umum kerana ia bergantung kepada cara pembaca atau masyarakat menerimanya. Ini kerana ada berita yang langsung tidak mencerminkan sebarang sensasi tetapi maklum balas serta-merta dan berpanjangan pula, menjadikan ia dianggap sensasi” (Berita Harian, 25 Ogos 2008). Kadangkala, adalah sukar untuk membezakan sesuatu berita itu sama adalah bersifat sensasi atau tidak dengan hanya melihat tajuk besar berita-berita sensasi tersebut. Tindakan membezakan berita sensasi atau berita penting dalam akhbar harian itu telah merupakan satu pandangan yang subjektif. Menurut Stephens (129):

Attempts to draw neat lines between “popular” and serious” journalism are frustrated in the end by the nature of news itself. News is a coarse, unrefined subtance, made up of events selected for their strangeness as much as their significance, their emotional appeal as much as their important. Even on the economics beat--in stories of takeovers or layoffs--the news can seem brutal. Even on the science beat--where equations can lead to bombs and humans function with mechanical hearts--the news can shock.

Pemaparan berita secara sensasi dan gosip juga dilihat sebagai satu keperluan untuk ‘menghidupkan’ sesuatu berita, terutamanya liputan gossip, skandal dan berita yang membabitkan selebriti. Umpamanya, pengumunan berita pernikahan penyanyi Siti Nurhaliza dengan jutawan Datuk K pada 18 Julai 2006 oleh media menghangatkan suasana. Pihak media berlumba-lumba untuk mendapatkan liputan berita mengenai Majlis Persandingan Siti dan Datuk K di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Kisah-kisah ini membuatkan segolongan masyarakat berdebat kosong di merata-rata tempat. Berita sensasi seolah-olah menjadi satu keperluan dalam masyarakat setempat. Menurut Stephens (107):

The line between news and published gossip may seem clear in sermons and civic lessons, but where exactly is that line to be drawn among the varied wandering of the human mind? It can even argued that gossip, along with other faith divers, has an invigorating effect upon the news. Were the personal lives of the famous placed off-limits, would the news tell a duller, less human story?

Walaubagaimanapun, terdapat juga pihak wartawan yang mereka-reka berita sensasi untuk melariskan jualan akhbar. Contohnya, berita Restoran Berahi--Pelayan separuh bogel--Hidangan juadah atas pusat. Polis yang menyiasat lokasi “Restoran Berahi” seperti yang dilaporkan oleh dua wartawan akhbar tersebut hanya menemui sebuah tangki air dan reban ayam di atas bumbung restoran tersebut. Ini membuktikan laporan restoran yang didakwa menyediakan perkhidmatan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggan semasa menjamu selera sebenarnya palsu.

Malahan, gambar wanita bogel yang disiarkan di halaman akhbar berita tersebut juga diceduk melalui internet (Utusan Malaysia, 21 Julai 2009). Ini menyebabkan kredibiliti akhbar, wartawan dan pengarang akhbar semakin dipersoalkan. Akibatnya, masyarakat mungkin lebih percaya kepada khabar angin daripada berita pada akhbar harian. Bukankah setiap berita yang dipaparkan di akhbar harian sepatutnya ditapis dan diteliti oleh penyunting untuk mengenalpasti ketepatan sumber berita?

Peranan pengamal media dalam memaparkan berita

Akhbar mempunyai pengaruh besar dan fungi sosialisasi dalam membentuk peribadi masyarakat. Menurut Mohd. Hamdan dan Zulkarimein (1992), “media cetak paling baik dalam memberikan maklumat peringatan yang tepat pada waktunya yang tidak dapat diharapkan untuk diingat sendiri oleh khalayaknya”. Dengan kata lain, akhbar merupakan antara satu media cetak yang penting dalam penyebaran maklumat melalui penyiaran beritanya. Setiap berita yang disiarkan dalam akhbar memberi impak kepada minda dan tindakan masyarakat kerana wujudnya manipulasi oleh akhbar.

Oleh sebab terlalu banyak berita yang boleh dipaparkan dan pembaca pula tidak mampu untuk menyerap semua berita yang diedarkan, wartawan dan penyunting akhbar yang memainkan peranan sebagai pengampang perlu sentiasa jelas dalam tindak-tanduk rutin mereka. Hides (1986) berkata penyunting mestilah memiliki pendirian dan visi dalam membuat keputusan untuk menggunakan tajuk berita, kapsyen dan gambar yang bersesuaian agar berita yang bakal diterbitkan memberi impak yang dikehendaki kepada pembaca .

Menurut Mahathir (132), “Akhbar-akhbar tidak seharusnya bersikap memberikan sahaja apa yang digemari oleh pembaca. Sikap mengambil mudah dan cuai seperti ini yang lambat laut akan memberi kemudaratan kepada masyarakat kita haruslah dibanteras sebelum ianya melarat. Sebenarnya, ini adalah satu penyakit yang amat berbahaya jika dibiarkan tanpa kawalan. Sebaliknya, akhbar-akhbar kita haruslah dapat mengelakkan diri daripada perkara-parkara yang akan mendatangkan atau memberi kesan yang negatif kepada masyarakat”.

Dalam proses menyiarkan sesuatu berita bercorak sensasi, sumber berita tersebut harus dikenalpasti. Bekas pengamal media Mior Kamarul Shahid (Sintokonline, 29 Februari 2008) menyatakan bahawa “Jika berita sensasi yang disiarkan itu boleh menimbulkan kesedaran masyarakat, contohnya ‘orang minyak’ menganggu penghuni kampung menyebabkan penduduk bertindak menjalankan rondaan, ia boleh diterima. Sebaliknya, jika berita itu sengaja direka-reka, tidak ada fakta, tidak ada sumber yang boleh dipertanggungjawabkan, ia bolehlah dianggap berita yang terkeluar daripada landasan etika”. Etika kewartawanan seharusnya dipegang oleh setiap pengamal media untuk menjamin ketelusan dalam pelaporan berita dan kredibiliti akhbar dalam khalayak masyarakat. Laporan berita isu-isu sosial secara prihatin yang membawa mesej membina minda akan lebih membantu pembangunan masyarakat berbanding dengan penyiaran bahan-bahan berita berunsur negatif, khususnya berita-berita dalam laporan jenayah yang keterlaluan dan lampau.

Namun demikian, kebebasan media akhbar dalam penyiaran berita menjadi lebih sulit apabila sebahagian besar saham syarikat akhbar itu dimiliki oleh tokoh-tokoh parti pemerintah atau menghadapi konflik antara kepentingan dagang dan perkhidmatan awam. Ini menjadi halangan besar kepada pengamal media. Menurut M. Noor Azam (dalam Hamzah, 1982),” Soal-soal seperti pencemaran alam, bahaya rokok, bahaya dadah dalam ubat-ubatan, kenaikan harga barang, pencemaran kebudayaan, adalah antara contoh-contoh betapa media cetak tidak dapat membongkar secara bersungguh-sungguh dan habis-habisan, kerana akibatnya akan menjauhkan para pengiklan dagang”. Jadi, media cetak harus mempergunakan keberanian, kebijaksanaan dan ketelitian untuk menghadapi kerajaan terutamanya dalam memperjuangkan kepentingan awam.

Kesimpulan

Berita muka depan akhbar yang penuh sensasi pada hari ini, esok lusa sudah menjadi kertas bungkusan belacan. Hakikat ini menunjukkan media akhbar seharusnya menekankan kualiti kandungan berita dan usahlah menekankan penyiaran berita bercorak sensasi dalam akhbar harian untuk melariskan jualan. Berita sensasi yang bias boleh membawa kesan negatif kepada minda khalayak dan seterusnya mempengaruhi tindakan mereka. Dalam hal ini, masyarakat umum juga mempunyai tanggungjawab. Sebagai pembaca, masyarakat seharusnya menekankan aspek pembacaan berita dalam keadaan ‘sedar’ iaitu tidak hanya membaca dan menerima bulat-bulat segala yang dilaporkan oleh akhbar tanpa berkeupayaan menilai faktor-faktor yang mempengaruhi penghasilan berita seperti yang dinyatakan oleh Suraini (dalam Naim dan Zaheril, 2006).

Sumber Rujukan

Agee, W.K., Ault, P.H. and Emery E. (1997). Introduction to Mass Communication. New York: Longman.

Hamzah H. (1982). Media Massa Dan Peranannya Di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hides, M. (1986). The Sub-Editor’s Companion, VINDURA, Vol. 52: p.37-38.

Kamus Dewan Edisi Baru. (1989). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mackay, H. and Sullivan T.O. (1999). The Media Reader: Continuity And Transformation . London: Sage Publication.

Media Guide 2006 (2006). Kuala Lumpur: Perception Media Sdn Bhd.

Mohd Firdaus I dan Salman H. Restoren Berahi—Pelayan separuh bogel—Hidangan juadah atas pusat. Harian Metro, 18 Julai 2009.

Mohd. Hamdan A. dan Zulkarimein N. (1992). Komunikasi Pembangunan: Pengenalan dan Penerapan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Safar Hashim. (1996). Mahathir Dan Akhbar. Kuala Lumpur: Utusan Publication.

Naim Haji A dan Zaheril Z. (2006). Bicara Media 2. Negeri Sembilan: Kolej Universiti Islam Malaysia.

Ruslan M. (2008, Feb 29). Etika Pengamal Media Masa Kini: Tidak Ada Sebuah Negara Yang Mengamalkan Kebebasan Total. Retrieved January 20, 2010, from http://sintokonline.uum.edu.my/data/so07.pdf.

Stephens, M. (1988). A History Of News. New York, U.S.A: Penguin Group.

Utusan Malaysia, 21 Julai 2009.

William L. Rivers. (2004). Media Massa Dan Masyarakat Moden. Jakarta: Psenada Media.
Zainuri M. Gossip Bukan Keutamaan Media Arus Perdana. Berita Harian, 25 Ogos 2008.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin